Monday 4 August 2008

PhD: Suatu Pengurusan Kendiri


PhD : Philosophy of Degree, Piala Hasad Dengki, Permanent Head Damage... dan seribu satu akronim bagi menggambarkan makna yang terkandung dalam tiga huruf P.h.D yang dicantumkan tersebut. Apapun kesemuanya mempunyai makna dan maksud yang tersirat untuk dileraikan sebagaimana abstrak dan beranjaunya perjuangan untuk mengenggam sebuah PhD tersebut.

Ijazah Doktor Falsafah
Ianya merupakan hasrat hampir semua insan yang mencintai ilmu dan pengetahuan. Apatah lagi seorang pensyarah kerana ianya merupakan sebahagian ke'wajib'an yang mesti ditunaikan. Dengannya pengiktirafan diperolehi untuk membolehkan mengajar anak watan pada semua peringkat akademik, diploma, sarjana muda, sarjana, PhD. Tanpanya maka hilanglah sebahagian prasyarat untuk kemandirian hidup di lingkaran menara gading atau sebuah tempat yang bergelar universiti.

Demikianlah... tatkala mula mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian ini, rupanya benarlah perjuangannya penuh liku dan debaran-debaran. Satu persatu, ujian diterima dan satu persatu ujian tersebut dihadapi. Mencari buku-buku di perpustakaan, kedai-kedai buku, akhbar, majalah, pelbagai media massa, menyelusuri internet, bertemu penyelia, berkongsi pandangan dengan rakan seperjuangan dan tokoh-tokoh akademik, merujuk dan mencari intipati daripada perbicaraan dengan para ahli dalam bidang yang diterokai, mencatat maklumat, merumus dan meringkaskan segala bahan pembacaan, mengemukakan idea dan berhujah, dikritik dan mengkritik, menilai dan mensintesis, menulis dan menyebarkan bahan ilmiah, menulis artikel, melibatkan diri dalam wacana, conference, seminar, konvensyen dan pelbagai persidangan, mengikuti kursus-kursus dan menulis tesis. Kesemua aktiviti tersebut merupakan sebahagian kehidupan yang menjadi nadi dan terus meneruskan hayat sebagai seorang pelajar PhD.

Namun rupanya itu hanya sebahagian sahaja daripada proses kehidupan dalam PhD ini. Ianya hanya sebahagian kecil sahaja. Terlalu kecil jika diibaratkan seperti seketul aisberg ianya hanyalah 10 peratus di permukaan tetapi 90 peratus lagi penuh dengan seribu satu kisah dan catatan perjuangan yang pastinya cukup luar biasa. Dan inilah sebenarnya PhD tersebut.

Makna Sebuah PhD Yang Sebenar
Teringat dan terus bersemadi dalam diri, bicara dan pesanan Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Mohamad Yusof Arshad seorang penyelia yang cukup bijaksana...

"PhD ini tidak cukup dengan hanya kerajinan tetapi perlu sedikit kebijaksanaan. Ianya merupakan sebuah pengurusan"
Dan benarlah... PhD ialah sebuah pengurusan kendiri. 90 peratus yang tersembunyi merupakan hakikat pengurusan tersebut. Menguruskan diri, masa, tanggungjawab kepada keluarga dan anak-anak, ibu bapa, penyelia dan rakan-rakan. Inilah intipati yang tidak dapat dipisahkan. Dan inilah makna PhD yang sebenarnya.

Pengurusan Kewangan

Kembali menginsafi kehidupan di bumi London yang merupakan sebahagian daripada program atau kursus yang diikuti di dalam program PhD ini. Apatah lagi di bumi London yang serba serbinya melibatkan kos dan implikasi kewangan. Membahagikan kewangan adalah hakikat yang tidak dapat dielakkan daripada dihadapi dengan penuh teliti. Dengan kos yang cukup terbatas untuk menampung kos sara hidup kami seramai 7 orang memangnya amat mencabar. Setiap wang yang dibelanjakan perlu diteliti dengan cukup berhati-hati. Manakah wang untuk sewa kediaman, kos pengangkutan pergi dan balik ke universiti, kos untuk menampung makanan, membeli buku, pakaian, susu dan pampers anak, oleh-oleh untuk saudara mara dan rakan di kampung dan seribu satu kos yang perlu diuruskan.

Ada kalanya sedih juga melihat anak-anak yang mengharapkan itu dan ini sebagaimana di Malaysia atau emak dan ayah yang bersusah payah menjaga anak-anak... namun untuk membelikan sesuatu kepada mereka pastinya tidak berkemampuan sebagaimana di Malaysia yang kosnya cukup murah dan rendah. Ternyata, Malaysia juga yang indah. Namun dengan ketidakupayaan ini, berusaha juga untuk menenangkan hati mereka. Setiap hujung minggu membawa mereka berjalan-jalan ke tempat yang menarik di London ini, dan pastinya poket semakin menipis. Membelikan juga buahan serta sesekali berkongsi makanan di kedai, memperuntukkan kewangan pada barangan cenderamata untuk adik beradik dan saudara mara. Namun semuanya pasti memerlukan daya fikir dan pengurusan kewangan yang cukup sarat dengan intipati kebijaksanaan. Inilah PhD!

Pengurusan Masa
Benarlah firman Tuhan: "Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.". Pengurusan masa di sini cukup berharga. Sebahagian masa telah habis dalam perjalanan, dan hanya sedikit waktu di universiti yang perlu di isi dengan segala satu aktiviti, mendapatkan bahan, menulis, membaca, berjumpa dengan penyelia, mengunjungi library, bertemu rakan dan berbincang. Dengan hanya dari 9.00 pagi hingga ke petang, seolah masa tidak cukup rasanya. Dan tatkala balik perlu kepenatan cukup terasa dan masa itulah perlu masa untuk anak-anak dan ibu bapa. Inilah PhD!

Pengurusan Diri Dan Keluarga
Kebijaksanaan dan psikologi yang cukup luar biasa adalah untuk menjaga diri dan keluarga. Dalam memperuntukkan masa untuk keluarga dan ibu bapa, segalanya perlu ditangani dengan penuh siaga. Jangan sampai hati ibu bapa terguris, anak-anak menderita dan diri sendiri jangan sampai merana. Segalanya bermula dengan penuh kesabaran, mengorbankan keselesaan diri untuk yang lain, merasai lazatnya ukhwah bersama keluarga dan kehidupan, menobatkan doa dan memohon kesejahteraan yang berterusan. Dan ianya cukup membahagiakan untuk dihayati... kemanisan yang tidak dapat dicari ganti... satu kenangan yang pasti akan dirasai sampai ke akhir hayat nanti. Inilah PhD!

Dan seribu satu pengurusan yang semuanya mesti ditangani dengan penuh teliti dan hati-hati. Inilah perjuangan sebenar untuk menjadi seorang ilmuan - kalaulah layak. Namun... Ya Allah kurniakanlah keberkatan untuk kami terus menjadi semakin sabar, tabah, gagah dan dikurniakan hikmah.

Amin Ya Allah!

Johari
London, UK.

Thursday 31 July 2008

Islamophobia

Tak puas rasanya hati dan perasaan jika tidak mengulas suatu isu yang pastinya akan dihadapi oleh semua orang yang mengucap dua kalimah syahadah di Tanah Permaisuri ini. Ia pasti dirasai dan ianya pasti dilalui.

Akhbar dan Media Massa

Di dada akhbar dan kaca televisyen, pastinya tidak pernah kunjung padam setiap hari dan hampir setiap masa dikumandang dan didendang dengan sewenang-wenangnya betapa Islam ini berkait rapat dengan keganasan dan kejahatan. Tatkala merenung dada akhbar yang diperolehi secara percuma dalam perjalanan pergi dan balik daripada universiti ke rumah sewa setiap hari, ada sahaja bicara tentang Islam, muslim dan sesuatu yang menyentuh tentang Islam sebagai paksi kejahatan.

"Suspek pengganas pengebom dihadapkan ke mahkamah"
Dan diikuti dengan terpampangnya wajah-wajah orang Islam dalam keadaan berjanggut dan berjambang sebagai pengganas yang mesti dihapuskan.
"Israel terpaksa membebaskan tahanan Palestin demi menebus mayat warga Israel yang terbunuh"
Dan diikuti dengan seribu satu kisah yang menyentuh kebaikan Yahudi dan kekejaman orang Palestin.
"Visa 11 buah negara diteliti semula"
Dan diikuti kisah penelitian kemasukan warga asing ke Britain terutamanya daripada negara Muslim termasuklah Malaysia yang perlu menggunakan Visa kerana kecurigaan terhadap mereka.
"Kami pelindung Israel: Brown"
Diikuti seribu satu pujian terhadap Israel dan sokongan penuh mereka terhadap negara tersebut yang berjaya menguasai rantau Islam di sekelilingnya.
Tak sudah-sudah melalui propaganda di dada akhbar, ruangan yang sama terus dipancarkan di kaca televisyen. Dan yang terbaru kisah mengenai Saddam dan keluarganya yang disiarkan ke seluruh negara.

Kisah Saddam Di BBC

Berkesempatan mengikuti rancangan tersebut selepas menunaikan solat Maghrib, hati kecil kian tersentuh. Entah daripada mana fakta di kutip dan daripada sumber apakah cerita direka memperlihatkan bagaimana Saddam Hussein yang digambarkan dengan penuh kekejaman yang tiada tolok bandingnya seperti seorang mafia. Semua seteru politik dikumpulkan dan dibunuh dengan kejam, adegan menembak kepala, meminum arak dan menghisap cerut, kebengisan, kekejaman, keganasan dan seribu satu gambaran untuk memastikan Saddam dan muslim keseluruhannya sebagai satu gambaran jijik dan menjijikkan. Saddam juga akan merogol dan membunuh perawan hampir setiap malam di samping memastikan ahli keluarganya sentiasa mengawasi semua orang dalam lingkungan dirinya agar patuh kepada beliau. satu gambaran yang pastinya penuh kerakusan serta menyemai kebencian yang tolok banding nya kepada orang Islam.

Terdetik juga di hati, "Mungkin benar..." namun gambaran yang diberikan sememangnya cukup meloyakan bagi setiap mukmin yang beriman.

Masjid Di Awasi

Dan akhirnya satu pengalaman yang semakin mendebarkan terus dilalui di kota ini. Ketika sempat menunaikan solat Jumaat bersama ayah mertua di salah sebuah masjid berdekatan dengan tempat penginapan, masjid tersebut di awasi oleh lima orang polis yang menunggu di pintu masjid dan kawasan berhampiran masjid. Takut benar mereka terhadap Islam, bahkan masjid juga dicurigai. Namun.. masih teringat pesanan ulama muktabar... biarkan, tunjukkan kebaikan dan mudah-mudahan mereka akan memeluk Islam. Dengan perasaan tersebut, saya merasai peri pentingnya berdakwah kepada mereka. Akhirnya mereka semua meninggalkan masjid setelah solat Jumaat selesai dilaksanakan. Sempat juga saya melemparkan senyuman kepada polis-polis tersebut, namun tidak dibalas dan saya terus berlalu dengan tenang.

Benarlah Islamophobia telah menjadi agenda negara setiap hari di tanah London ini. Islam semakin ditakuti dan perlu dimomokkan setiap hari. Mengapa tidak angka peningkatan umat Islam di London terus melonjak secara drastik setiap hari. Samada melalui anak yang dilahirkan, kehadiran warga asing daripada negara Islam dan pertukaran agama Kristian kepada Islam sememangnya amat ditakuti.
Keseluruhannya, banyak lagi tugas yang perlu dilaksanakan. banyak lagi bebanan dakwagh yang perlu disegerakan bagi memastikan agama Islam ini terus bersinar dengan gemilang. Bak
kata pepatah, "Tiada kemanisan tanpa kesusahan".

Begitulah juga perjuangan menuntut ilmu ini.

Insya Allah akan berjaya dengan kegighan usaha yang berterusan.

Salam penuh ukhwah,
Johari

Thursday 24 July 2008

Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail: Suatu Warkah Kenangan

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera...


Yang Berbahagia Prof.,

Sesungguhnya 96, Park Avenue North, Willesden, London menjadi saksi yang mempertemukan kehadiran kita di Bumi Permaisuri ini. Di bumi ini jugalah suatu ikatan ukhwah terbina dan silaturahim dijalinkan. Tidak pernah terdetik dalam perasaan mahupun tersimpan dalam lipatan hati akan dipertemukan dengan seorang tokoh besar dan ilmuan terbilang yang sentiasa menjadi icon UTM dan warganegara Malaysia keseluruhannya. Namun segala yang diqada'kan yang Maha Esa pasti akan berlaku juga.

Detik Pertemuan


Masih basah dalam ingatan tatkala menyambut seorang Profesor yang terulung, alangkah gentar dan gerunnya rasa hati. "Bagaimanakah untuk melayani seorang tetamu yang amat masyhur begini?", "Apakah layak kami tinggal sebumbung bersama seorang cendekiawan terbilang", dan pelbagai pertanyaan terpacul dalam kotak fikir. Namun segalanya lenyap apabila berhadapan sendiri dengan Prof. AF Ismail tersebut. Keramahan dan senyuman yang tidak pernah lekang daripada wajahnya menyebabkan kemesraan segera lagi terjalin. Apatah lagi dalam kesunyian di tanah yang amat asing ini.

Demikianlah mulai saat tersebut, jalinan persaudaraan terus mekar dan hari-hari yang penuh meriah terbentuk dan bersulam dengan pelbagai pengalaman, jenaka, pandangan dan seribu satu kisah yang tidak mungkin dapat dilupakan. Sememangnya tempoh singkat yang dikurniakan dalam catatan kehidupan kami di bumi London ini menjadi begitu manis dengan kehadiran beliau. Dan bermulalah catatan sejarah perkongsian pengalaman tinggal serumah, makan semeja, dan tawa bersama.

Tidak mungkin dapat dilupakan saat-saat yang dilalui bersama tatkala makan semeja, bersenda gurau, keperkebunan memetik buahan, menaiki bas dan mencari cenderamata di Oxford Street, makan di bawah pohon di Cambridge, ber'punting', bahkan menjelajah car boot sales. Pelbagai rakaman catatan kenangan tersebut terus terpahat di lubuk hati dan lipatan sanubari.

Detik Perpisahan


Namun, setiap pertemuan pastinya ada perpisahan. Tanggal 23 Julai 2008, beliau kembali ke tanah air Malaysia meninggalkan tanah Permaisuri ini dengan segala tugasnya di sini yang telah diselesaikan. Alangkah beratnya rasa hati tatkala melihat beliau meninggalkan kami semua. Alangkah hibanya mengenangkan saat bersama yang tidak mungkin dapat dirasai semula. Alangkah sedihnya mengingatkan detik manis yang pernah dilalui bersama.

Segalanya kini tinggal kenangan, namun banyak pengalaman yang telah dikongsi dan segala pesanan dan nasihat yang diberikan terus menjadi azimat dan tali temali yang akan terikat kukuh dalam ingatan untuk menjadi pedoman sepanjang zaman. "Teruskanlah perjuangan", demikianlah pesanan dan doa beliau yang terus terngiang-ngiang dalam tekad dan keazaman.


Prof. terima kasih di atas segala-galanya.

Hormat daripada:

Johari Surif

DOA PERPISAHAN : Dedikasi khusus buat Prof. A.F. Ismail

Pertemuan kita di suatu hari
Menitiskan ukhuwah yang sejati
Bersyukur ku ke hadrat Ilahi
Di atas jalinan yang suci


Namun kini perpisahan yang terjadi
Dugaan yang menimpa diri
Bersabarlah di atas suratan
Kau tetap pergi jua


Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Allah bantulah hambaMu
Mencari hidayah daripadaMu
Dalam mendidikkan kesabaranku
Ya Allah bantulah hati hambaMu
Di atas perpisahan ini


Semyuman yang tersirat dibibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu

Semoga Tuhan berkatimu...






Kembara ke Cambridge Yang Mendebarkan

Dua minggu lepas mencatatkan tambahan rakaman pengalaman kehidupan di Tanah Permaisuri ini. Bersama keluarga dan teman-teman kami meluangkan kesempatan ke Cambridge sebuah kota yang dibangunkan daripada kepesatan pembangunan sebuah universiti yang telah berusia ratusan tahun. Universiti apa lagi kalau bukannya University of Cambridge. Mendengar namanya sahaja sudah cukup untuk menggerunkan dan menggentarkan rasa hati. Namun ianya bertambah mengkagumkan tatkala berhadapan sendiri dengan antara universiti tertua dunia itu.

University of Cambridge

Cambridge memang sebuah kota yang indah dan mendamaikan. Suasananya merupakan suasana penuh keilmuan. Di sepanjang jalan terdiri daripada kolej-kolej dan kedai-kedai yang didirikan dengan duit universiti. Semakin rasa kagum apabila mengetahui kedai-kedai tersebut dibangunkan oleh universiti dan semuanya menyewanya dan membayarnya kepada universiti sekaligus menjana pendapatan lumayan kepada universiti tersebut. Tentunya idea pengkorporatan masih segar dalam ingatan. Apabila ianya diumumkan... semua masyarakat tersentak. Mengapa tidak universiti terpaksa membiayai sendiri sebahagian kos perbelanjaan mereka. Dan ketika itu, universiti mempunyai satu decision yang amat ditakuti, "Kami mesti menaikkan yuran pelajar untuk menampung perbelanjaan kami". Namun tuidak begitu di Cambridge... mereka menggunakan segala ruang dan kemudahan yang ada untuk menjana pendapatan yang menguntungkan.

Di sepanjang jalan pula deretan basikal disusun dan itulah antara kenderaan utama yang digunakan. Terbayang di UPSI yang meniru sebahagian cara hiduup di Cambridge. Memang amat mendamaikan, tanpa pencemaran dan kos yang amat menjimatkan. Tentunya kita kurang bersesak dengan kenderaan pelajar di kampus UTM. Dan belum dikira lagi terhadap peningkatan kos harga minyak mendadak yang menimbulkan keresahan semua orang.

Pelbagai aktiviti kami lakukan di Cambridge yang sememangnya tidak akan dapat dilupakan. Daripada makan di bawah pohon di tepi padang, ber'punting' di sungai, melawat kolej-kolej terkenal, ke kedai buku dan kedai makanan halal. Paling tidak dilupakan apabila berhadapan dengan beberapa pelajar Malaysia di Cambridge yang masih merendah diri dengan adab ketimuran. Daripada merekalah banyak sejarah University of Cambridge tersebut dikutip dan dipelajari. Mengunjungi sebatang pohon epal.. benihnya daripada pohon epal yang mencetuskan ilham teori graviti Newton sehinggalah kepada kolej kebanggaan yang melahirkan ramai ilmuan terkenal yang mendominasi teori sains dan matematik sehingga ke hari ini.


Pengalaman Yang Mendebarkan


Akhirnya kami singgah ke sebuah masjid di Cambridge. Hampir pasti tidak dapat ditemui kerana ia terletak dalam deretan rumah-rumah, kecil dan berwarna putih pudar di belakang sebuah kedai makan. Dan di sinilah kesabaran kami teruji. Entah datang dari mana seorang kulit putih dengan wajah yang penuh biadab dan menjijikkan memandang hina kepada kami. Tidak cukup dengan itu, pelbagai kata-kata biadab dihamburkan yang tentu saja menyebabkan air muka kami berubah dan maruah rasa diinjak-injak.

"This is Cambridge Pig Farm"
"Pigs live here!"
"Huargh! Huargh!" (bunyi babi)

Spontan diiringi gelak ketawa dan tepukan tangan dua orang perempuan di seberang jalan dengan penuh rasa gembira.

Alangkah menyayatnya.. sedih benar hati kami merasai kebodohan dan kebioadaban mereka. Kalau di malaysia tentu sahaja mereka akan diperhambart dan dibawa kehadapan pengadilan kerana mengeluarkan kata-kata yang begitu memprovokasi sentimen keagamaan. Namun kami hanya mampu bersabar. Ini bukan negara Islam. Biarpun di kota penuyh keilmuan namun akhlak penghuninya tidak begitu. Kami sedar dan penuh insaf bahawa Malaysia dan UTM masih lagi yang terbaik di hati.

Bilakah kami dapat kembali ke Malaysia?

Ikhlas penuh ukhwah

Johari Surif

Wednesday 2 July 2008

Apakah ertinya hidup tanpa akhlak?

Tanggal 2 Julai 2008. Kehidupan yang berjalan seperti biasa ini merupakan sebahagian diari kehidupan dalam musim summer di bumi London. Dan ianya juga merupakan telah tiga bulan aku berada di England ini. Mengingati hari-hari di sini, semakin kuat keazaman untuk segera kembali ke Malaysia. Sesekali terasa kehairanan di dalam hati memikirkan warganegara Malaysia yang sanggup tinggal di England belasan tahun sehingga mencapai taraf permenant resident. Begitu juga dengan beberapa orang kawan yang baru dikenali telah mengabdikan diri dan telah sebati dengan budaya British.

"Di Malaysia banyak nyamuk... tidak di sini", masih jelas dalam ingatan sebahagian bicara kami dalam temubual yang berlangsung beberapa hari yang lalu.

"Sistem-sistem di sini jauh lebih berkualiti jika dibandingkan dengan sistem di Malaysia", ye.. sememangnya kuakui kerana memikirkan kesesakan lalu lintas sistem pengangkutan di Malaysia sememangnya pasti memikirkan pengangkutan awam di London.

Namun, membaca dada akhbar setiap hari di sini, sememangnya jauh lebih menakutkan daripada keadaan di Malaysia.

"Kadar kes rogol meningkat"
"Polis melarang penjualan arak secara besar-besaran sempena parti pesta pantai"
"Pelajar mati ditikam"
"Jenayah meningkat"
"Dua gadis ditahan kerana membekalkan dadah kepada penyanyi popular"

Sememangnya kes-kes jenayah sentiasa berlaku setiap hari di sini. Segalanya banyak berpunca daripada arak dan dadah. Tidak terbilang kes kematian dan kecederaan daripada air kencing syaitan tersebut. Dan setiap malam rakyatnya akan berpesta dengan arak yang menjadi sebahagian kehidupan masyarakat di kota ini. Ia ditambah dengan pengendali empayar perusahaan arak yang amat rakus mengejar keuntungan. Maka hampir seluruh kedai menjual arak yang boleh dibeli dengan murah dan mudah sekali.

Apabila arak telah menjadi nadi kehidupan tunggulah saat kehancuran.
Demikianlah natijah daripada kehancuran akhlak masyarakat London.

Merenung semua kisah ini terkenang kembali catatan dalam riwayat sirah dan teladan. Seorang pemuda yang dipaksa memilih satu daripada tiga jenis maksiat iaitu sama ada zina, membunuh atau arak. Dihadapannya disediakan seorang gadis yang cantik jelita, pisau untuk membunuh dan sebotol arak untuk diminum. Memikirkan akibat yang perlu dihadapi iaitu bunuh di balas bunuh, zina perlu bertanggungjawab untuk dihukum dipengadilan dan arak hanyalah maksiat diri melanggar perintah Tuhan yang perlu kembali bertaubat, lantas pemuda tersebut memilih untuk meminum arak sahaja. Setelah meminum arak, merah matanya dan kembang-kembang uratnya, pemuda tersebut telah menangkap gadis jelita dan dalam keadaan pemikiran yang telah dikuasai nafsu dan arak yang melalaikan, maka gadis tersebut telah diperkosa. Kejadian yang berlaku menyebabkan abang si gadis menjadi marah dan cuba memukulnya. Namun dengan pisau yang ada berhampiran telah digunakan untuk membunuh abang gadis tersebut. Akhirnya tanpa disedari, pemuda tersebut telah melakukan ketiga-tiga maksiat yang ditawarkan. Telah terang lagi bersuluh bahawa araklah pintu segala maksiat.

Kini hal yang sama turut berlaku dalam tamadun ini. Kerajaan berusaha gigih untuk mengawal arak namun segalanya mungkin telah terlewat.

Pastinya aku kembali menginsafi alangkah indahnya bumi Malaysia. Bilakah aku akan kembali ke sana?

Salam penuh ukhuwwah,

Johari Surif

Tuesday 17 June 2008

Alangkah sukarnya memuji

Fantastic.
Gorgoes.
Well done.
Excellent.
Very good.
Oh, thats good.
Dan pelbagai lagi ungkapan pujian yang saban hari pasti akan kedengaran.
Di London inilah aku mula mengerti betapa mudahnya melontarkan pujian walaupun untuk perkara yang sekecil-kecilnya. Pengalaman bersama penyelia menyingkap lebih banyak lagi pujian-pujian yang sentiasa kedengaran bagi memberi penghargaan kepada setiap idea, cetusan pendapat, perkongsian pengalaman atau bahan bacaan baru, bahkan setiap tindakan yang dibuat.
Benarlah pujian sememangnya mampu mendorong membangunkan semangat dan motivasi penerimanya. Manakan tidak, setiap usaha yang dibuat tidak dianggap sebagai suatu pembaziran sebaliknya dihormati dan dihargai.
Masih teringat pesanan mutiara hikmah untuk mencari kawan dan sahabat, mulakanlah dengan pujian.
Dan alangkah indahnya apabila pujian tersebut dibalas kembali dengan ungkapan-ungkapan terima kasih yang selari dengan pujian yang dilontarkan.
Thank you.
Thank you very much.
Thank you so much.
Demikianlah pujian disambut, penghargaan diterima. Betapa murahnya pemberi dan betapa menghargai sipenerima.
Berlakukah ini dalam masyarakat di Malaysia?
Masih basah dalam ingatan, terlalu sukar untuk menerima pujian. Sebaliknya seperti rumah siap, pahat berbunyi, cemuhan dan kritikan yang bertali arus akan kedengaran sebaik sahaja melakukan sesuatu tugasan. Setidak-tidaknya begitulah kebanyakan daripada pengalaman yang diharungi selama ini di tanahair sendiri. "Eleh, macam ni aje.. . adk aku pun boleh buat", berdesing telinga mendengarnya. "Ah.. banyak buku tulis pun bukannya berkualiti", sebuah sindiran yang maha tajam. "Penyelidikan banyak tapi tentah apa-apa entah", satu lagi hamburan kejian. Mengapa ye? Hal yang sama turut berlaku apabila dipuji oleh rakan yang lain. Seolah-olah malu dan menganggapnya sebagai satu sindiran. "Lawa baju hari ni?', "Eh.. mana ada. Engkau janganlah main-main", demikian jawapan apabila dipuji oleh rakan yang lain. Pelik bukan?

Apakah mereka tidak menyedari makna dan hakikat menghargai dan menyayangi pengorbanan dan usaha rakan. Satu persatu prsolan tercetus dalam ruang pemikiran dan mengetuk pintu hati. Alangkah kerdilnya jika dibandingkan dengan budaya yang berakar di bumi London ini. Benarlah ada ulama yang membicarakan, "banyak nilai Islam yang luhur berakar di negeri kafir".
Salam penuh ukhuwwah,

Johari Surif

Kembara Ilmu


Entah kali keberapa, aku menggunakan keretapi bawah tanah di kota London ini. Inilah pengangkutan yang digunakan untuk pergi ke Universiti dan merentasi pelbagai destinasi di kota metropolitan ini. Inilah juga pengangkutan yang menjadi nadi dan berdenyut menghidupkan rangkaian perhubungan insan dan warga kota usang ini. Menaiki kenderaan ini mempertemukan aku dengan penghuni kota ini dan setiap hari menggunakan pengangkutan ini, setiap hari jugalah penghayatan terhadap segala penghuni yang menaiki keretapi ini kutemui. Warganya menggelar kenderaan ini sebagai tube sesuai dengan laluannya yang menerobosi terowong-terowong bawah tanahseperti tube. Setelah saban hari dan acapkali menggunakan dan menghayati ragam yang pelbagai setiap insan yang menggunakannya, rasa terpanggil untuk mencoretkan pengalaman yang kulalui.
Kecanggihan Pengangkutan Awam
Aneh rasanya memikirkan di bawah tanah kota London yang penuh dengan pelbagai pencakar langit dan bangunan bata yang memenuhi hampir setiap pelosok permukaan buminya. Hampir setiap inci telah rata dipenuhi dengan bangunan-bangunan yang pastinya didiami dengan pelbagai insan di dalamnya. Namun di bawah bangunan itu jugalah berselirat dengan jaringan terowong-terowong yang merentas dan menghubungkan setiap garis sempadan di kota ini. Semakin aneh apabila terpaksa menggunakan lif-lif dan eskalator sehingga 5 dan 6 tingkat ke bawah tanah bagi mencapai tube-tube ini. Tapi inilah hakikat yang telah mendarah dan mendaging kepada setiap warga kota ini. Memerhatikan jaringan destinasi setiap stesen-stesen tube ini tidak ubah seperti memerhatikan sarang anai-anai yang mempertahankan serangga tersebut daripada hujan, panas, terik mentari, kesejukan malam bahkan serangan haiwan pemangsa. Ternyata kota ini telah mempelajari sebahagian keajaiban Allah dalam mempertahankan makhluknya yang lemah.
Kecekapannya? Sememangnya amat efisyen. Mengapa tidak setiap 2 atau 3 minit, sebuah tube pastinya akan datang menjenguk setiap stesen tersebut, memuntahkan sebahagian penumpangnya dan menelan pula sebahagian penumpang lain. Begitulah ia bergerak daripada sebuah destinasi ke sebuah destinasi yang lain. Dan jarang benar, ianya terhenti di tengah jalan, mengalami kerosakan atau terlewat sampai daripada waktu yang ditetapkan. Bermula daripada jam 5 pagi ia mula beroperasi dan menghentikan perkhidmatannya menjelang 11 malam. Cekap bukan?
Ketika itulah, aku memikirkan apa yang berlaku di Malaysia. Memerhatikan kesesakan bandaraya Kuala Lumpur memang memeningkan kepala. Alangkah sedihnya mengalami pengalaman terperangkap dalam traffic jammed sehingga berjam-jam, dan ianya merupakan lumrah yang perlu diterima untuk hidup di ibu kota negara tercinta ini. Mengapa ya? Apakah tidak terfikir cara untuk mengatasinya dengan mengguna pakai teknologi tube ini? Apakah kerana perkhidmatan bas telah mencukupi untuk menyelesaikan segala permasalahan di KL. Tapi apa cerita pula dengan masalah bas yang tidak pernah selesai? Rapid KL yang kononnya menjadi penyelamat hanyalah sebuah cerita luka apabila berpuluh-puluh bas Park May tersadai dan terbiar begitu sahaja sehingga mencemarkan pemandangan. Apa yang telah berlaku sebenarnya?
Budaya Membaca
Bosan termenung memerhati jendela tube ini, aku melemparkan pandangan kepada penumpang-penumpang lain yang sama-sama berkongsi tempat duduk. Sebahagian yang lain pula berdiri kerana tempat duduk adalah terhad. Dan satu perasaan luar biasa meresap ke dalam diri. Mengapa tidak hampir semua penumpang tersebut asyik membaca. Membaca! Satu perintah Allah kepada umatnya yang menjadi seruan agung dan kalimah pertama Al Quran yang diturunkan.
Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan. Menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama TuhanMu yang agung.
Pelbagai bahan bacaan daripada buku-buku ilmiah, buku-buku sastera, novel-novel, majalah, dan suratkhabar. Dan satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila seorang wanita muda yang berkerusi roda bersusah payah dibantu oleh penumpang-penumpang lain untuk memasuki tube yang penuh sesak. Sehinggakan semua penumpang memberikan ruang dan memerhati dengan pandangan simpati. Setelah mengucapkan terima kasih dan mengunci kerusi roda yang digunakannya, beliau terus mengeluarkan sebuah novel di bawah pehanya lantas membaca dengan khusyuk sekali. “MasyaAllah!”. Hanya itu sahaja yang dapat kuungkapkan. Tidak hairanlah, kerajaan telah memberikan akhbar percuma setiap hari kepada rakyatnya, Metro di sebelah pagi dan London Paper serta London Nite pada sebelah petangnya. Walaupun bahan berita yang disajikan agak ringan namun ianya cukup bermanfaat bagi memupuk budaya membaca di kalangan rakyatnya.
Alangkah indahnya jika hal yang sama dikongsi rakyat Malaysia.
Salam Hormat:

Johari, London


Monday 16 June 2008

Bersabarlah Menghadapi Ujian

Mungkinkah ini satu ujian... hanya itulah yang terdetik di hati dan terus menerus bermain di fikiran. Sejenak terkedu dan kosong fikiran apabila mendapat perkhabaran anak kami di dalam ambulan dan dikejarkan ke hospital. Makluman daripada telefon yang mengejutkan itu memberitahu tangan anak kami yang baru berusia setahun lebih tersepit pintu dan tentulah tulangnya yang pauh itu patah dan berdarah. Ketika kami pulang daripada universiti dan menyaksikan tangisan dan darah yang bercucuran menjadikan hati menjadi semakin kecut. Suasana menjadi bertambah pilu apabila tangisan isteri turut mengiringi perjalanan ke hospital yang dirasakan begitu panjang.

Anak kami dicheck di hospital dan perlu menjalani pembedahan plastik di hospital yang lain. Akhirnya kami menjejakkan kaki di Royal Free Hospital, ya sebuah hospital awam sebagaimana di Malaysia.

Pengalaman di Hospital Yang Mendebarkan

Serentak dengan menjejakkan kaki di hospital inilah segala ujian bermula. Getir benar rasanya hati dan alangkah risaunya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Tidak terputus doa kami panjatkan agar segalanya segera berakhir. Selama lapan hari, tujuh malam anak kami ditahan di hospital. Tangisan anak kecil itu cukup menyebakkan dan mengetahui betapa terseksanya hidup di dalam sebuah penjara rawatan. Mengapa tidak anak yang sekecil itu terpaksa menjalani lima kali anaesthehic (dikomakan) melalui bius. Jarinya yang amat kecil dan halus itu terpaksa dibedah, dimasukkan dawai sebagai sokongan dan dibalut. Kesan daripada pembedahan tersebut menimbulkan infection (jangkitan) sehingga dua jenis mikroorganisma yang amat merbahaya. Setelah diberikan antibiotik, dan iringan doa agar ianya berjaya membunuh patogen tersebut. Malangnya ia gagal berfungsi kerana patogen yang parasit itu telah resistance (rintang melawan antibiotik) sehingga terpaksa diberikan tiga jenis antibiotik lain. Bagi tempoh tersebutlah, lukanya perlu dibuka setiap hari untuk dibasuh bagi membuang nanah dan dijahit kembali. Apabila doktor menyatakan bahawa mereka perlu melakukan rawatan secara intensif untuk mengelakkan tangan tersebut tidak berfungsi, hati ayah manakah yang tidak menjadi kecut. Hanya panjatan doa dan permohonan kepada Yang Maha Esa dipanjatkan tanpa henti. Ternyatalah ini bukan lagi sebuah drama tapi realiti yang perlu dihadapi.


Ujian Itu Muhasabah Diri


Pengalaman yang panjang ini tentunya cukup untuk memberikan beberapa muhasabah diri dalam menceritakan kehidupan di bumi London ini. Ternyata bicara seorang teman di UTM bahawa tidak mungkin seseorang itu menjalani PhD tanpa diuji. Mungkin bukan berkaitan penyelidikan tapi ujian kepada kesihatan, keluarga dan persekitaran. Dan ini merupakan sebahagian ujian kami. Benarlah kata penyelia kami, "Johari.. PhD merupakan bagaimana menguruskan diri. Bukan hanya kerajinan tetapi juga perlu kebijaksanaan". Ternyata kini kami diuji. Selama di hospital tiada apa yang boleh dilakukan terhadap kajian. Tiada buku yang mampu di baca, tiada artikel yang dapat dihayati, tiada data yang dapat dianalisis. Segalanya terhenti dan bagaimana dengan PhD yang menuntut masa yang bukan sedikit. Ternyata bukan hanya pengorbanan masa bahkan segala tenaga dan keletihan yang tidak bertepi.
Namun segala kepayahan itu ada kebaikan. Ianya menginsafkan kami untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah. Sepanjang anak kami ditahan di hospital ini, semakin dekat rasanya hati kepada Allah memanjatkan doa tanpa henti dan al Quran ditangan juga tidak ditinggalkan. Ada kalanya terpaksa menghamparkan tuala bersih untuk bersolat di tepi katil anak sendiri kerana untuk pergi ke bilik sembahyang yang jauh tentunya takut meninggalkan anak sendirian di tengah malam dan subuh hari.


Sistem Rawatan Hospital Kerajaan


Membandingkan hospital kerajaan di London memangnya ibarat hosopital swasta di Malaysia. Kebersihannya cukup luar biasa. Bahkan bilik airnya boleh dijadikan tempat tidur. Bersih.. sangat bersih dan tidak berbau ubat. Begitulah gambaran hospital mereka. Nurse yang mengendalikan sokongan rawatan juga sentiasa memberikan sepenuh kemampuan walaupan tergambar keletihan akibat tenaga yang diperah. Segalanya amat difahami. Dan tenaga pakar mereka cukup luar biasa. Pengalaman ditemui pakar sebelum ke theater untuk pembedahan cukup luar biasa. Bermula dengan pakar anaesthetic, pakar pembedahan dan agak terkejut pakar psikologi. Mereka memberikan penerangan dan permainan kepada bayi kecil tersebut agar tidak terkejut di dalam bilik rawatan nanti. Anehkan... Layanan tersebut lazimnya hanya diperolehi di hospital swasta sahaja di Malaysia. Dengan menggunakan kemudahan pelajar kami tidak dikenakan bayaran sekalipun kami tinggal selama lapan hari di dalam wad tersebut.


Sistem Parking Hospital


Sesuatu yang amat menginsafkan di sini. Parking adalah cabaran yang amat menakutkan. Mengapa tidak setiap hospital membuat berjuta ringgit daripada parking di hospital. Bayaran bagi setiap jam ialah £3 dan sistem rondaan yang ketat. Semasa membayarnya di meter parking, keinsafan amat menyentuh hati. Alangkah bertuahnya hidup di Malysia. Pengalaman membayar parking ini jugalah yang menyebabkan kami terpaksa berulang alik dengan tube ke hospital. Tapi kemudahan awam mereka yang bersifat world class sedikit sebanyak berjaya mengubati luka hati kami memikirkan kebobrokan sistem parking yang mat kejam di sini. Bahkan di dada akhbar dinyatakan bahawa alangkah kejamnya hospital yang mengenakan bayaran kepada mereka yang berada dalam kesusahan.


Sesungguhnya setiap yang baik itu ada buruknya dan terfikirlah bahawa setiap ujian itu ada hikmahnya.
Hormat daripada:
Johari Surif

Thursday 22 May 2008

Menghayati Budaya Research di United Kingdom



Hari ini telah genap 52 hari berada di bumi London, sebuah kota metropolitan yang dibina dan dibangunkan hasil daripada proses penjajahan dan kesinambungan perjuangan empayar British ini. Berdiri di dalam ruangan kamar Visiting Academic di Institute of Education, University of London ini sememangnya banyak menyingkap kembali segala pengalaman di UTM, Malaysia. Manakan tidak setiap hari sentiasa terindu-rindu untuk pulang ke tanah air sendiri. Benarlah kata pepatah, “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di negeri sendiri”. Namun menceritakan emas di bumi orang ini sememangnya amat mengujakan terutamaya budaya pencarian ilmu melalui penyelidikan mereka.

Special Interest Group

Pelbagai perkara yang dipelajari di sini banyak yang amat perlu untuk dijadikan teladan. Semalam (22/5/2008) sewaktu menghadiri perjumpaan dengan Special Interest Group (SIG) dalam Pendidikan Sains kami diketemukan dengan tujuh orang (pensyarah, reseach officer dan pelajar master dan PhD). Sebanyak tiga projek dikemukakan berkaitan pembangunan perisian pendidikan sains. Amat tertarik kerana ianya membicarakan penggunaan teknologi yang bertujuan untuk mewujudkan cabaran atau konflik kognitif di kalangan pelajar. Sebuah projek lain berusaha untuk membangunkan refleksi dengan menggunakan teknologi manakala sebuah projek lagi berusaha menjadikan sesuatu yang abstrak menjadi lebih nyata khususnya berkaitan medan magnet dan elektrostatik. Namun bila dihayati idea-idea yang dikemukakan telah lazim di dengar bahkan ada projek yang kelihatan bersifat seperti sebuah lontaran idea yang ringan. Namun, ianya disambut oleh ahli-ahli SIG yang lain untuk memperkukuhkan idea tersebut dan membangunkan menjadi sebuah kerangka yang lebih kukuh dan praktikal. Tentulah ianya amat membantu penyelidik tersebut. Menyedari ini semua hati saya amat terpersona, kerana ianya amat jarang berlaku di Malaysia sendiri. Lazimnya penyelidik malu untuk mengemukakan lontaran idea kepada rakan-rakan yang lain, lebih malu jika dihadapan mereka yang telah terkemuka dan risau dikritik. Begitu juga para sarjana dan cendekiawan lainnya berusaha habis-habisan untuk bersifat defensif terhadap sesuatu cadangan yang dikemukakan... Setidak-tidaknya inilah yang saya hayati sepanjang berada di UTM.

Membangunkan Universiti Penyelidikan

Saya juga berkesempatan menghadiri sebuah mesyuarat bersama seluruh ahli Faculty of Culture and Pedagogy di IOE ini. Ianya dihadiri cukup ramai kakitangan daripada empat buah jabatan yang dinaunginya iaitu Dept of Arts and Humanities, Dept of Learning, Curriculum and Communication, Dept of Geography, Enterprise, Mathematics and Science, dan London Knowledge Lab. Topik utama mesyuarat tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah mengingatkan masa hadapan fakulti yang memerlukan kewangan yang mendesak untuk perkembangan fakulti ini. Bunyinya sama sahaja dengan apa yang lazim di dengar di mana-mana universiti sekalipun. Namun universiti di UK hanya menerima peruntukan geran daripada kerajaan sebanyak lebih kurang 30 peratus sahaja daripada perbelanjaan yang diperlukan. Selebihnya mereka perlu menjana pendapatan sendiri. Apakah cara untuk mendapatkan kewangan mereka? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan daripada penyelidikan dan perundingan yang menyumbangkan sehingga 50 peratus daripada pendapatan universiti dan selebihnya ditampung dengan yuran pelajar. Luar biasa bukan? Mesyuarat tersebut merumuskan bahawa sekiranya penyelidikan mereka tidak menjana pendapatan sebagaimana yang diharapkan mereka tidak punya banyak pilihan melainkan mengecilkan jumlah pekerja.. sesuatu yang tentunya amat ditakuti oleh para pensyarah. Ini mengakibatkan mereka, sebagai contoh Department of Geography, Enterprise, Mathematics and Science sahaja, berupaya mendapat peruntukkan berjuta pound setiap tahun (suatu jumlah yang bukannya sedikit) daripada aktiviti penyelidikan mereka. Terlintas difikiran, bagaimanakah jika budaya ini menjadi kelaziman di Malaysia? Alangkah...



Budaya Keilmuan

Melalui sistem maklumat menggunakan internet yang cukup dimanfaatkan melalui pengaplikasian Microsoft Office Outlook, setiap maklumat disampaikan kepada pensyarah dan semua warga fakulti dengan cukup berkesan. Tidak hairanlah, sehingga 20 email diterima setiap hari melalui pesanan ini. Dan anehnya mereka cukup rajin berkomunikasi dengan pantas menggunakan kaedah ini. Setiap aktiviti dalam seminggu juga dapat diakses dan kemudian edaran pamplet diberikan kepada semua staff setiap minggu. Tentunya memudahkan penyusunan jadual pensyarah merancang perjalanan aktiviti harian dan mingguan mereka. Mengimbas pengalaman di Malaysia yang adakalanya maklumat diterima terlalu suntuk sehingga tidak berupaya untuk melakukan perancangan dengan berkesan. Mungkinkah budaya sedemikian akan berubah?

Akhirnya menginsafi semua ini, berupayakah penerapan budaya emas di UK mengalir dan mendarah di Malaysia? Mampukah ianya dievolusikan dan jika tidak direformasikan di kalangan setiap warga universiti daripada kalangan pentadbiran, staf sokongan, pensyarah dan pelajarnya? Bilakah ianya akan berlaku? Pelbagai pertanyaan merentasi kotak akal mencari jawapan.

Kesimpulannya, tepuk dada tanyalah akal! Banyak lagi perjuangan yang belum selesai.

Hormat daripada,

Johari Surif
Institute of Education, University of London
London

Wednesday 21 May 2008

London: Suatu Refleksi Kendiri

Assalamualaikumwarahmatullah...

Berikut merupakan Refleksi Kendiri yang saya tuliskan kepada penyelia ketika attachment di UK.

Memahami Makna Kehidupan Di Bumi London
Alhamdulillah mungkin ini merupakan sebahagian refleksi yang tergambar setelah berada lebih kurang sebulan setengah di UK. Rasanya terlalu banyak ragam kehidupan dan sistem-sistem masyarakat yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan di Malaysia. Ternyatalah bahawa bumi ini sudah amat maju dan jauh terkehadapan dalam semua aspek kehidupan jika dibandingkan dengan Malaysia sebuah negara membangun yang amat daif daripada segi kemajuan dan peradaban.
Segalanya memang nyata. Sistem peraturan hidup yang terkandung atas nama Undang-undang sememangnya tiada tolok bandingnya.


Sistem Pengangkutan

Ternyata amat sukar untuk menemukan kereta yang tidak di parking dengan betul di sini. Melalui sistem dendaan yang dilaksanakan dengan ketat, tiada siapa yang berani mengingkari arahan. £50 pound untuk melepaskan kereta yang dirantai dan pelbagai macam penyiasatan dan tindakan termasuk pemotongan point kepada pemandu sehingga menyebabkan lesen mereka digantung. Bahkan meletakkan kereta di depan rumah jiran cukup untuk menyebabkan polis datang ke rumah dan menyaman pihak yang bersalah. Sistemn perlesenan yang dijalankan dengan berwibawa tanpa sebarang rasuah (JPJ) menyebabkan lesen yang diperolehi amat diyakini. Sungguh aneh apabila Malaysia enggan mengiktiraf lesen di UK? Pemandu mereka juga amat menghormati pejalan kaki dan sanggup menunggu untuk memberikan prioriti kepada mereka. Walaupun jalanraya amat sempit, tetapi kesediaan untuk menyalakan lampu (signal) bagi memberi peluang kepada pemandu lain sudah berakar umbi kepada sikap di jalanraya. Mungkinkah ini akan berlaku di Malaysia?
Rangkaian keretapi bawah tanah juga amat canggih dan membuka mnata betapa kerdilntya perkhidmatan komuter, monorel dan LRT di Malaysia. Bahkan kami disediakan 3 suratkhabar setiap hari secara percuma kepada pelanggan keretapi bawah tanah. Terlaksanakah negara kebajikan seperti ini di Malaysia?

Sistem Pendidikan

Menghantar dua orang anak ke dalam sitem pendidikan mereka sebenarnya cukup membenarkan perolehan pengalaman yang menarik. Anak-anak tidak didesak untuk peperiksaan walaupun mereka banyak belajar. Permainan yang pelbagai disediakan untuk anak-anak di sekolah rendah. Tiada buku yang berbakul-bakul perlu dipikul ke sekolah hingga anak-anak mengadu sakit pinggang mereka. Sehingga tiga orang guru (dua pembantu) di nursery dan reception bagi hanya kurang 30 pelajar. Kelas yang besar dan penuh dengan pelbagai permainan, komputer! dan buku-buku yang menarik. Mampukah kita meniru ini semua?
Sekolah menengah juga sangat hebat. Lawatan ke sekolah untuk mengutip data membuka mata yang amat luas mengenai peranan sekolah kepada pelajar untuk belajar. Alangkah seronoknya belajar jika begini. Homework yang diberikan adalah projek-projek yang mengajak penyiasatan dan bukannya bebanan ulangkaji yang menakutkan. Alangkah berbezanya?


Sistem Perubatan


Tak terbayang risaunya apabila Farzana (anak bongsu kami) tersepit pintu tangannya dan beradarah. Tangisan tersebut menyebabkan sebuah ambulan datang ketika kami sedang berada di Universiti. Setelah berkejar pulang, kami pergi ke hospital. Dan luka tersebut menyebabkan anak kami perlu di rawat untuk pembedahan plastik agar tiada parut pada masa hadapan. Walaupun kerenahnya luar biasa dan tempoh masa yang amat panjang namun, segalanya diterangkan dengan permohonan tandatangan mendapatkan keizinan pada setiap prosedur yang akan dilaksanakan sememangnya amat menakjubkan.


Kebajikan Ibu Tunggal dan barangan percuma


Kami menyewa dengan seorang tuan rumah yang mempunyai kawan seorang ibu tunggal. Dia hidup dan membesarkan anaknya di London dengan bantuan kerajaan sepenuhnya tanpa bekerja. Mengapa mereka berupaya membela nasib golongan yang tidak berdaya begini sedangkan di TV3 dipaparkan nasib golongan begini amat melarat di Malaysia. Mereka juga mempunyai laman-laman web freecycle yang kami manfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan TV, meja dan barang-barang yang diberikan secara percuma. Walaupun secondhand tapi masih boleh digunakan. Hanya perlu pandai merendah diri dan jangan lokek meminta. Dan ianya tidak memalukan kerana ramai orang berbuat demikian bahkan mereka berterima kasih apabila kita sanggup mengambilnya. Anehkan? Di Malaysia di manakah kita boleh mendapatkan barang percuma tanpa menjejaskan maruah diri?


Kehancuran Akhlak


Namun, di sini juga saya mula mengerti alangkah sukarnya mencari titisan keimanan. Peradaban dan akhlaknya sudah bagaikan telur dihujung tanduk. Kehancuran sosial telah membengkak dan bernanah bahkan telah berkudis yang amat menjijikkan. Bercumbu di dalam tube, padang, taman, tempat duduk sudah menjadi perkara biasa. Alangkah terperanjatnya apabila di sebelah temnpat duduk di dalam tube, mereka bercumbu tanpa mengambil kisah seorang muslim di sebelahnya. Jika di Malaysia pastilah telah saya tendang keluar tapi di sini hanya boleh beristighfar... alangkah lemahnya iman saya di sini. Dan tiada siapa ambil peduli. Alangkah hancurnya masyarakat di London ini.


Pelacuran, Gay dan Lesbian


Sudah menjadi suatu yang lumrah di pondok-pondok telefon, gambar-gambar separuh (bukan 5/6) bogel terdedah dengan nombor talian yang boleh dihubungi pada bila-bila masa. Kedai buku lesbian dan gay booleh di dapati dengan mudah. Apakah mereka tidak sedar kaum Lut yang diterbalikkan Allah? Ternyata gereja mereka hanyalah hiasan semata-mata.. kosong dan menjadi bahan sejarah sahaja.


Rokok dan Arak


Kejutan sekali lagi apabila melihat terlalu ramai orang merokok di London ini, dan separuh daripadanya ialah perempuan. Alangkah menyeduhkan gadis (tak tahulah gadis ke tidak) dan wanita yang menghisap rokok dengan penuh rasa bangga. Arak pula telah menjadi nadi.. baru di baca dalam suratkhabar bahawa kerajaan akan menggubal undang-undang kawalan arak. Dan sekarang baru minggu lepas, Datuk Bandar yang baru melarang arak di Tube! Setiap bulan dianggarkan berpuluh orang gadis belasan tahun (bahkan semuda 11 tahun) menghidap barah hati yang serius kesan daripada arak. Dan mereka baru hendak menggubal akta pencegahan. Sedangkan Islam telah melarangnya 1400 tahun yang lalu. Apakah mereka tidak belajar daripada agama yang hebat ini?


Kebersihan


Walaupun, lori datang dan mengambil sampah (seminggu sekali) di Malaysia lebih kerap lagi, tetapi masyarakatnya membuang sampah di merata-rata tak ubah macam di Malaysia. Ternyata masyarakatnya juga pengotor hanya tukang sapu mereka lebih efisyen.


Akhirnya setelah membuat muhasabah kembali (refleksi) sedar dan yakinlah bahawa tamadun ini sudah hampir hancur. Maju dari segi material tapi akhlaknya amat malang sekali. Alangkah baiknya jika Malaysia mempunyai sistem-sitem yang hebat di London tetapi menfgekalkan keimanan di dalam diri rakyatnya.
Apapun, ternyata banyak tugas yang perlu dilakukan apabila balik ke Malaysia nanti. Mungkin untuk mengubah keseluruhan sistem tidak berupaya digerakkan berseorang melainkan dengan sebuah organisasi yang hebat, namun menjadi pendidik yang baik adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Ya Allah kuatkanlah ketabahanku.
Salam penuh takzim,

Johari Surif

Seorang anak murid di London