Tuesday 19 May 2009

Swine Flu, Virus A H1N1: Musibah atau Tazkirah?















Swine Flu alias seselma babi


Tatkala artikel ini kusiapkan, wabak swine flu telah tersebar hampir ke serata dunia bahkan Malaysia sendiri juga telah mencatatkan dua kes sekaligus meningkatkan kekhuatiran dan kebimbangan seluruh rakyat. Swine flu yang diakibatkan oleh kehadiran virus A (H1N1) atau seselma babi atau apa sajalah namanya cukup untuk menerbitkan kebimbangan kepada sesiapa sahaja yang dijangkitinya apabila mengetahui kehadirannya yang tidak diundang mengakibatkan kematian. Wabak pandemik di Mexico ini mampu berubah menjadi bom jangka yang mampu tersebar ke seluruh dunia hasil migrasi penduduk ke sebuah negara yang cukup popular dengan kehadiran para pelancong ke negara tersebut. Ianya syurga bagi penduduk Amerika Syarikat yang tinggal berjiran untuk melancong dan berhibur dan kemudiannya penduduk di negara tersebut turut menyumbangkan kepada penularan keserata alam buana ini.

Virus tersebut yang melibatkan tiga perumah iaitu burung, babi dan manusia boleh menjangkiti manuia dengan penyebaran melalui udara mengundang padah dengan hanya menghidu nafas pesakit yang dihidapi penyakit seselma babi ini. Begitu juga melalui interaksi dengan babi yang merupakan host atau perumah sejati kepada virus ngeri ini. Pelbagai kisah daripada catatan perubatan yang mampu dibaca sendiri daripada pelbagai pautan internet tentang virus ini dan journal perubatan rasanya tak perlulah untuk kuwarkahkan dalam tulisan ini. Namun apa yang lebih membimbangkan ialah pelbagai cetusan dalam rohani fikirku hingga memaksa aku mencatatkan dalam blog ini.

Bicara hati: Mengapa Allah menimpakan musibah ini?

Demikianlah detik fikir yang terus tali temali meruntun dalam hatiku. Tidak kasihankah Allah Yang Maha Penyayang terhadap makhluk yang diciptakannya sendiri. Sehingga sehingga kini telah mencatatkan 79 kematian dan 9830 kes yang telah disahkan di seluruh dunia. Pastinya mangsa yang terkorban merasai azab yang amat menyakitkan tatkala merasai tubuh mereka telah dikuasai oleh virus pembunuh yang bergerak pantas memusnahkan fungsi organ-organ mereka hingga akhirnya terpaksa pasrah menunggu malaikat Izrail datang mencabut nyawa mereka. Juga pastinya kesedihan tersebut akan dikongsi dengan isteri, suami, anak-anak, saudara mara dan sahabat handai yang mengiringi pemergian orang yang dikasihi. Alangkah sedihnya....

Demikianlah... sehingga aku terbaca sebuah artikel dalam sebuah blog para sahabat yang mencatatkan dengan terperinci hakikat pengharaman babi yang mungkin boleh ku'paste'kan di sini.



"Bukankah Islam itu agama yang fitrah, meraikan semua yang menjadi fitrah manusia. Allah tentu tahu yang mana baik dan yang mana bruk untuk manusia.

lalu Allah menyatakan bahawa babi adalah haram dimakan oleh sesiapa sahaja:
 
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi,dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapibarangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (surah Ali Imran ayat 173)

Para Nabi, para Rasul dan para ulamak menjunjung perintah Allah menyampaikan kepada manusia kenapa Allah haramkan babi namun ia dipandang sebagai sentimen agama kononnya ia adalah lambang penghinaan dan diskriminasi agama.

Bukankah pengharamannya jelas adil untuk fitrah manusiawi semua insan tanpa mengira agama?

Perhatikan fakta ini:

1. Babi adalah haiwan yang amat rakus ketika makan . Ia makan semua makanan di hadapannya. Ia tidak akan berhenti makan, bahkan memakan muntahannya.

2. Ia memakan semua yang boleh dimakan di hadapannya. Memakan najis manusia,haiwan atau tumbuhan, bahkan memakan kotorannya sendiri.

3. Ia kencing atas najisya dan memakannya kembali jika berada di hadapannya.

4. Ia memakan sampah, benda yang busuk, dan najis haiwan.

5. Ia adalah haiwan mamalia satu-satunya yang memakan tanah.

6. Kulit orang yang memakan babi akan mengeluarkan bau yang tidak enak.

7. Penelitian ilmiah moden di China dan Sweden menyatakan: daging babi merupakan merupakan penyebab utama kanser alat kelamin dan kolon. Peratus penderita penyakit ini di negara-negara yang penduduknya memakan babi, meningkat secara drastik. Terutama di negara-negara Eropa, dan Amerika, serta di negara-negara Asia (seperti Cina dan India).

Sementara di negara-negara Islam, peratusnya amat rendah, sekitar 1/1000. Hasil penelitian ini diterbitkan pada 1986, dalam Konferens Tahunan Sedunia tentang Penyakit Alat Pencernaan, yang diadakan di Sao Paulo.

8.Sangat suka berada pada tempat yang kotor, tidak suka berada di tempat yang bersih dan kering.

9. Daging babi adalah tempat persinggahan bagi beberapa jenis cacing yang berbahaya antaranya cacing Pita (Taenia solium), cacing Piral (Trichinella spinalis), cacing Tambang (Ancylostoma duodenale), cacing Paru-paru (Paragonimus), Fasciolepsis busci, Schistosoma japonicum,Chlonorchis sinensis, Erypsipelothrix dan lain-lain.

Kenapa babi haram? Babi haram kerana Allah mengharamkannya

Apabila Allah telah menghukumkan babi itu haram dimakan, walaupun Allah tidak menjadikan apa-apa kuman pun di dalam babi itu. babi itu tetap haram. Kerana ianya tetap dimaramkan oleh Allah.

Kemudian jika Allah tidak menghukumkan babi itu haram sekalipun, babi tetap haram kerana ia mengandungi kuman yang tidak dapat dimatikan.

Allah mengharamkan babi sebagai tanda rahmat dan kasih sayangNya kepada sekalian manusia.

Allah mengharamkan babi untuk semua ummat manusia samaada Muslim, Yahudi , Nasrani atau lain-lain agama.

Al quran:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.  ( Al Maidah ayat 3)

Dalam Alkitab , kitab Imamat 11:7 :

"Demikian juga Babi, meskipun berkuku belah, yaitu kukunya bersela panjang, tetapi tidak memamah biak; haram itu bagimu."

Yang hanya tinggal untuk kita ialah beriman kepada Allah dan melaksanakan ajaranNya.

"Makanlah makanan yang baik dan halal".

Akhukum

Pejuang Kecil
http://najhie.blogspot.com/
2.15 petang, 9 Jamadil Ula 1430
Hayyu 10, Kaherah

Panjang lebar catatan "Pejuang Kecil" yang memperincikan amaran Allah terhadap pengharaman babi dan sebab-sebab logik manusia yang turut menyokong perintah Allah tersebut. Namun kini aku terus termangu-mangu apabila memikirkan babi yang seorlah-olah tidak dapat dipisahkan daripada manusia sejagat. Hampir seluruh makanan mengandungi bahan gelatin yang diperbuat daripada lemak babi. Babi juga diternak secara besar-besaran tidak kira secara konvensional, moden, hiliran dan apatah lagi kadahnya. Babi juga menjadi sumber protein yang diagungkan sebagai antara yang paling murah, enak dan entah apa-apa lagi. Lantas ketika inilah aku mula menyedari mengapa Allah mencipta virus A H1N1 seiring dengan babi tersebut sebagai tanda kasihnya Allah kepada hambaNya agar mereka kembali menginsafi segala amaran yang telah dipesankan melalui rasulNya di dalam mukjizat Nabi Muhammad yang paling agung (Al Quran).

Dan seketika inilah aku mula merasai alangkah indahnya kasih sayang Allah kepada makhluknya.

Monday 18 May 2009

Cikgu: Terima kasih

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Muqadimah syair Usman Awang buat guru yang disayanginya sebagaimana yang diungkapkan di atas, banyak menyentuh hati dan nurani setiap insan. Mengingati kenangan hari-hari awal ke persekolahan, rasa gerun bertemu guru seiring dengan tangis rakan-rakan yang ketakutan dan ingin bertemankan ayahbonda sepanjang hari tentunya masih tersemat di dalam hati. Namun senyuman, belaian, kemesraan dan kasih sayang yang ditunjukkan berjaya memujuk hati untuk terus kekal dibangku sekolah hingga loceng akhir berbunyi.

"Jangan bimbang, cikgu tak makan orang" pujuk guru kepada seorang temanku yang tampak pucat dan mengigil di sudut kelas. Diusapnya wajah anak perempuan kecil tersebut dan didukungnya bagai anak sendiri.

"Jangan menangis, nanti kita main dengan kawan-kawan ye" senyuman tak putus di wajah guru tersebut pada rakanku yang lain. Demikianlah...

Dan sejak itulah, kami dididik, diajar, diasuh, dimanja, dibimbing hingga akhirnya mengenali apakah a, b, c... 1,2,3.. alif, ba, ta... memahami kejadian siang dan malam, pelangi dan galaksi... mengerti fotosintesis dan evolusi... menghayati teori graviti dan keabadian momentum... zarah, relativiti einstein, quark, awan elektron, hukum kekule dan seribu satu konsep, prinsip, hukum dan teori yang pada awalnya terlalu asing beransur-ansur bersebati dalam kotak fikir.

"Kalau kita baik dengan orang nanti orang akan baik dengan kita" pesan guruku lagi apabila kami saling berkelahi.

Ya... seribu satu nasihat yang diterima dan seribu satu ungkapan sebagai teladan dan batas sempadan. Ianya menjadi azimat mengangkat martabat dan sehingga kini terus utuh terpahat dalam sanubari. Nyatalah tugas guru bukan sekadar mengajar bahkan jauh lebih daripada itu, mendidik muridnya menjadi insan berguna dan berbakti pada masyarakat. Alangkah besarnya jasa mereka. Pernah sesekali aku melihat mereka tertawa di bilik guru, bahkan adakalanya termenung menatap buku-buku para murid yang dididiknya... memikirkan bagaimana untuk menolong mereka.

Pernah aku dirotan kerana berkelahi di hadapan makmal. Akibatnya berbirat juga punggungku dihadiahkan cemeti yang sentiasa dipegang guru disiplin yang kebetulan guru sainsku pada ketika itu. Pernah aku diminta berdiri sepanjang waktu kelas kerana gagal menyiapkan kerja rumah yang pada ketika itu sangat bertimbun-timbun. Pernah juga dimarahi gara-gara sebahagian pelajar enggan turun sembahyang ke surau sekolah... dan seribu satu catatan 'manis' yang sehingga kini tidak dapat kulupakan. Namun semuanya merupakan peristiwa yang mencipta aku menjadi dewasa.

Dan... kini tanpa sedar aku sendiri diamanahkan sebagai pensyarah yang juga berada dalam lingkungan yang hampir sama dengan seorang guru. Melihat mahasiswa daripada kaca mata seorang guru... tentunya demikian aku juga dilihat dari kacamata guruku. Namun... kini kami tidak boleh lagi merotan pelajar... memarahi juga mengakibatkan kehadiran kelas berkurangan. Belum lagi nasihat yang tentunya akan disambut dengan markah penilaian pelajar yang rendah. Hingga akhirnya aku menginsafi makna seorang cikgu.

Terima kasih cikgu!

salam: Sempena Hari Guru "Guru Pembina Negara Bangsa"