Thursday, 22 January 2009

Guru: Pengajar atau Pendidik?

Sengaja ku tulis tajuk catatan ini dengan satu persoalan. Namun ianya bersulam dengan sebuah harapan untuk mendesak pemikiranku bekerja lebih keras untuk memahaminya. "Mengapa aku perlu bersusah payah begini?" ternyata persoalan yang kulontarkan hanya membawa kepada seribu satu persoalan yang menuntut pelbagai jawapan. Mengapa tidak.....

Seribu Satu Kisah Seorang Guru

Kisahnya bermula daripada kehadiranku mempengerusikan "Program Pengkayaan Pengetahuan dan Pengalaman Bersama Guru Pakar" pada minggu yang lalu. Selaku setiausaha sebuah NGO, aku diamanahkan untuk mengendalikan program tersebut. Sambil makan dan berbual panjang bersama guru-guru cemerlang ini, rupanya banyak benar yang perlu dipelajari. Alangkah luasnya ilmuMu Ya Allah. Tak tertafsir rasanya cerita yang disampaikan, tak terjangkau pemikiran membayangkan dan tak tergambar pengalaman yang dikongsikan. Segalanya cukup indah kerana bagi mereka, usaha yang dicurahkan adalah bekalan ke akhirat nanti.

"Syukur kepada Tuhan, semua anak-anak saya berjaya dengan cemerlang walaupun saya tidak sempat untuk mengajar anak saya sendiri" senyum terukir di bibir guru di depanku ini. "Mengapa?" spontan terpacul soalan tanpa dapat kutahan lagi. "Hampir sepanjang hari daripada pagi hingga ke malam saya di sekolah mendidik pelajar hingga anak sendiri terabai. Mujurlah Allah membalas dengan menganugerahkan kejayaan pada mereka", suaranya mendatar dan penuh rendah diri.

Benarlah firman Tuhan, setiap kebaikan akan di balas dengan kebaikan. Ianya benar-benar menginsafkan. Tidak terpalit rasa penyesalan guru muda tersebut menginfaqkan hampir seluruh hidupnya bagi mendidik anak-anak masyarakat yang mengamanahkan kepada mereka biar terpaksa mengabaikan kebahagiaan dirinya sendiri.

Ingatanku terus mengimbau kembali ketika berbicara dengan seorang guru yang pernah dihantar jauh di pedalaman. Tanpa segala kemudahan, jauh sekali keseronokan menikmati bekalan air dan api yang hanya dihujung jari. Terpaksa bersatu dengan alam, minum air di perigi dan berbekalkan api pelita serta kelambu sebagai pendinding diri.

"Kami membina sendiri semua peralatan makmal daripada bahan terbuang, daripada tin kosong hinggalah botol-botol yang telah dibuang. Sesekali menangkap kucing liar untuk diawetkan dan mencari darah ayam di pasar untuk mengkaji platlet dan hemoglobin", penuh semangat terpancar dari tutur kata dan anak matanya yang bersinar-sinar.

Sekali lagi aku mendakap kemas semua pengalaman yang dikutip. Memetrainya dengan kalimat keramat untuk dinobat sebagai alunan azimat. Mereka mendapat damai abadi dengan membakar diri. Terus menjadi panduan dan pedoman diri.

Kami hanya mengajar

Namun terasa dadaku terkocak juga sesekala bila berkongsi pengalaman dalam sudut yang berbeza. Seperti kisah seribu satu malam, ada watak protogonis dan antagonis. Malam dan sinag. Putih dan hitam. Tidak lengkap jika tidak kukongsikan pengalaman menghadiri seminar peringkat kebangsaan di sebuah IPTA terbilang. Seusai menyampaikan seminar yang sesekali disulami gelak tawa, aku dipanggil beberapa orang guru tua dengan wajah yang membusat.

"Encik ni pernah mengajar di sekolah ke?", begitu soalan yang lama bertalu di gegendang telingaku.
"Mengapa?", sengaja aku melemparkan soalan provokasi.
"Mustahil kita boleh laksanakan pengajaran secara inkuiri, konstruktivis dan apa-apalah yang Encik cakap tu.", wah! bernada tinggi suaranya.
"Tidak boleh?", aku menyoal lagi suaraku datar.
"Encik hanya berteori, kami yang melaksanakannya. Bila nak habis silibus? .. kami ada banyak kerja, bukan habis mengajar kena jaga macam-macam, pentadbiran kami buat... aktiviti... dan... ", dan seribu satu alasan.

Begitulah kalau tak hendak seribu dalih. Anehkan? Mengapa guru tersebut tidak sama dengan guru cemerlang yang kutemui. Sedangkan mereka dididik di universiti dengan segala prasarana dan silibus yang sama.

Dan semalam kulihat lagi berita di dada akhbar. Guru didakwa memperkosa anak murid perempuan selepas balik daripada aktiviti sukan. Berita yang lain, guru meliwat dan melakukan seks oral kepada pelajarnya.

Ya tuhan, apa dah jadi?

Kembali aku memikirkan pertanyaan tadi, guru: pengajar atau pendidik?

Tuesday, 20 January 2009

Gaza: Salam Perjuangan

Entah kali ke berapa aku menyelak halaman demi halaman akhbar sehingga lusuh menatap wajah-wajah anak-anak dan wanita tidak berdosa yang sudah tidak bernyawa lagi. Wajah yang pucat dan tompok-tompok darah benar-benar menyayat hati. Manakala di satu sudut lain digambarkan kereta-kereta kebal dan ledakan peluru berpandu yang tidak berkesudahan. Fikiranku kian kosong dan sebak di dadaku tidak dapat ditahan lagi sehingga akhirnya basah air mata yang cepat-cepat kuseka. Pastinya amat memalukan apabila dilihat teman dan rakan-rakan lain melihat seorang lelaki bersama tangisan.

Ratapan Kesedihan

Pantas memoriku mengintai kembali perbicaraan bersama seorang mak cik petang tadi yang terus terngiang-ngiang hingga dinihari. "Mengapa bayi dan wanita yang lemah dan tak berdosa dianayai sedemikian rupa" kata makcik tersebut dengan wajah penuh kegeraman. Kelihatan rona merah mengisi sudut matanya. Dan aku berkongsi perasaan dan emosi yang sama. Malam itu aku benar-benar resah, puas kucuba melelapkan mata namun masih tergambar dalam kotak fikir tangisan yang menyayatkan daripada seorang doktor yang kehilangan tiga cahaya matanya. Terpapar kembali rintihan seorang ibu muda yang kehilangan seluruh ahli keluarga dan tempat kediaman yang menjadi perlindungannya sama sekali. Rumah tempat berteduh telah rata menyembah bumi. Hospital telah penuh dengan mangsa yang terkira, bekalan ubatan yang terus tersekat tanpa makanan dan penderitaan kian kejam apabila kedinginan musim sejuk sudah tidak dapat diungkapkan lagi.

"Apakah salah mereka Ya Allah sehingga diseksa sedemikian rupa?".

Tidak puas rasanya meladeni keheningan malam dan resah yang memburu berpanjangan, ku singkap tafsir pimpinan Ar Rahman dan kuingat kembali pesan ibu,

"Hanya dengan mengingati Allahlah hati akan menjadi tenang".

Setiap Yang Beriman Pasti Akan Diuji

Dan akhirnya aku menemui firman Tuhan, "Apakah kamu berkata kamu beriman dan kamu tidak akan diuji. " Benarlah mereka saudara-saudaraku di Gaza sedang diuji Allah dengan uijan yang maha dahsyat. Ujian yang pastinya amat menggoncangkan keberanian dan meruntuhkan kemanusiaan. Ujian yang datang daripada kekejaman Zionis yang tak punya makna kasihan. Ujian yang jika ditimpakan kepada umat di bumi Malaysia ini pastinya akan menjadi padang jarak padang tekukur.

Namun sememangnya Gaza telah melahirkan insan yang cukup kental imannya. Bumi para anbia yang sentiasa melahirkan ribuan jiwa bertaqwa dan pejuang yang tidak pernah gentar. Ya Hamas telah menyahut ujian yang datang dan bertarung dengan sepenuh kekuatan. Tatkala waktu solat datang, pastinya azan terus berkumandang dan jamaah berpusu-pusu datang ke runtuhan masjid yang tidak mampu di sebut lagi itu.

"Kami tidak pernah gentar. Sekiranya ajal telah sampai kami tetap akan kembali kepada Tuhan walaupun bersembunyi di dalam kubu perlindungan", bicara seorang ahli jemaah dengan pancaran wajah penuh ketenangan.

Dan bicara saf pimpinan Hamas tambah menginsafkan keimananku. "Kami akan terus berjuang sama ada syahid atau menang. Namun untuk berundur dan membiarkan agama Allah ini dicemari, tidak sekali-kali".

"Ya Allah, alangkah kerdilnya aku jika dibandingkan dengan mereka". Sebak di dada kian mencengkam apabila memikirkan masjid di bumi Malaysia yang hanya dilimpahi jemaah apabila solat sunat aidilfitri atau hari-hari pertama bulan ramadhan. Begitu juga tatkala suara helikopter dan hujan peluru kedengaran, pejuang Hamas pantas melepaskan tembakan balas serta pasukan bantuan membantu mangsa yang terkorban dan tercedera tanpa mengendahkan keselamatan diri mereka.

Monolog Pada Diri

"Ya Allah aku memohon kepadaMu Ya Allah berilah bantuan dan rahmatMu kepada saudara-saudara kami di Gaza. Hancurkanlah musuh-musuh mereka, pecah belahkanlah ikatan dan kesatuan musuh mereka, Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa, Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka, Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, hantarkanlah anjing-anjingMu kepada musuh mereka. "

Demikianlah sebahagian qunut nazilah yang terus kupanjatkan kepada Tuhan yang pastinya akan membantu hambanya yang beriman. Masih basah ingatan sahabat seperjuangan, Rasulullah terus berqunut nazilah selama sebulan bermunajat supaya Allah membalas perlakuan kafir jahiliyah yang telah membunuh 60 orang sahabat yang hafal al Quran tatkala dititipkan untuk berdakwah di perkampungan mereka. Aku juga bermohon agar doaku kau terima Ya Allah. Sesungguhnya aku tidak punya kekuatan untuk turut berjihad sebagaimana Hamas di Gaza namun aku hanya mampu berusaha yang termampu. Sesekali meruntun juga nafsu dan bisikan syaitan tatkala menghampiri Mc Donald dan Starbucks menyaksikan alangkah berseleranya pemuda dan pemudi Islam yang asyik menikmati juadah mereka. Sedih juga menyaksikan rakan-rakan yang masih enggan menginfaqkan sedikit kekayaan mereka kepada pejuang di Gaza, dan tambah pilu melihat sebatang demi sebatang Dunhill, Marlboro dan entah apa lagi berkepul berkelun di bibir umat yang mengaku beriman. Dan sesungguhnya aku terlalu lemah Ya Allah kerana hanya ini sahaja yang mampu kulakukan. Alangkah indahnya kalau aku mampu...

Salam Hormat:

Johari Surif