Monday 2 February 2009

Bicara Cinta

Dalam kesibukan sehari-hari ini akhirnya dapat juga meluangkan masa sesama teman berdiskusi dan membuat muhasabah diri. Mengupas panjang Tafsir Pimpinan Ar Rahman serta memanjatkan doa untuk kesejahteraan keimanan.

Hasad

Akhirnya kami berhenti memahami dan menyoroti tajuk inti bicara. Hasad. Kupasan yang panjang menyusuri bicara Tokoh Ilmuan silam yang telah teruji perjuangan dan pengorbanan mereka. Ianya merupakan seumpama api di dalam sekam dan api yang memamah ranting kayu yang kering dan basah, begitulah kedengkian yang membara membakar segala amalan dan ibadah yang pernah ditunaikan. Menjadi punca kerosakan diri dan ummah keseluruhan. Meruntuhkan negara, watan dan ketamadunan. Menghancurkan sendi dan nadi perjuangan menegakkan amr makruf, ukhwah dan silaturrahim ummah.

Terpaku diriku, terpesona mendengarkan bibit bicara teman yang berkongsi pengalaman, bagaimana ianya menjadi akar khianat dan permusuhan.

"Menghindarinya mesti diusahakan", begitulah sebahagian ungkapan yang terus mengetuk pintu hati.
"Demikian juga kita perlu menutup pintu-pintunya agar bara persengketaan tidak mungkin akan berbenih dan bercambah", sememangnya sarat dengan pelbagai tafsiran.

Namun bagaimana untuk mengelakkannya!

Ya kuncinya ialah dengan berkasih sayang. "Kasih Sayang!", kalimah yang menyelubungi hati terkuak dan mula memikirkannya dengan teliti.

Cinta

Jika tidak sinonim, kasih sayang dan cinta sentiasa diluahkan bersama. Ianya suatu perasaan suci yang tidak dapat dijualbeli bahkan kurniaan Tuhan yang amat mahal harganya. Mencintai dan ingin dicintai.

Dan aku kembali hanyut dalam perasaan diri. "Bagaimanakah ingin mencintai jika rasa cemburu dan iri hati masih kukuh dalam diri?". Tertegakkah kasih sayang dan bicara keinsanan jika terus megah dengan kehebatan diri.

Dan kisah-kisah silam kembali berkumandang dalam kotak fikir.

Satu saat aku melihat seorang tua menendang seekor anak kucing yang kelaparan tanpa belas kasihan.

Satu saat aku melihat jeritan amarah di sebuah pasaraya memperihalkan perjudian dan hutang.

Satu saat juga pernah mendengarkan tengkingan seorang lelaki tua di dalam bas yang sarat dengan penumpang.

Satu saat juga melihat dan menyaksikan pembunuhan dan kisah kekejaman.

Semuanya kulihat di depan mata maupun hanya melalui kaca TV. Namun sdah cukup untuk memerhati dan memahami bahawa cinta kian hilang dan kasih sayang telah memudar.

Akhirnya aku terus berteleku... mugkinkah masih ada cinta di dunia ini. Atau hanya hasad yang terus menguasai?

1 comment:

  1. Saya amat takut kalau salah cinta. Jika cinta kepada Illahi itu memang wajib tapi sesama manusia...manusia tida sempurna

    ReplyDelete