Monday 18 May 2009

Cikgu: Terima kasih

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Muqadimah syair Usman Awang buat guru yang disayanginya sebagaimana yang diungkapkan di atas, banyak menyentuh hati dan nurani setiap insan. Mengingati kenangan hari-hari awal ke persekolahan, rasa gerun bertemu guru seiring dengan tangis rakan-rakan yang ketakutan dan ingin bertemankan ayahbonda sepanjang hari tentunya masih tersemat di dalam hati. Namun senyuman, belaian, kemesraan dan kasih sayang yang ditunjukkan berjaya memujuk hati untuk terus kekal dibangku sekolah hingga loceng akhir berbunyi.

"Jangan bimbang, cikgu tak makan orang" pujuk guru kepada seorang temanku yang tampak pucat dan mengigil di sudut kelas. Diusapnya wajah anak perempuan kecil tersebut dan didukungnya bagai anak sendiri.

"Jangan menangis, nanti kita main dengan kawan-kawan ye" senyuman tak putus di wajah guru tersebut pada rakanku yang lain. Demikianlah...

Dan sejak itulah, kami dididik, diajar, diasuh, dimanja, dibimbing hingga akhirnya mengenali apakah a, b, c... 1,2,3.. alif, ba, ta... memahami kejadian siang dan malam, pelangi dan galaksi... mengerti fotosintesis dan evolusi... menghayati teori graviti dan keabadian momentum... zarah, relativiti einstein, quark, awan elektron, hukum kekule dan seribu satu konsep, prinsip, hukum dan teori yang pada awalnya terlalu asing beransur-ansur bersebati dalam kotak fikir.

"Kalau kita baik dengan orang nanti orang akan baik dengan kita" pesan guruku lagi apabila kami saling berkelahi.

Ya... seribu satu nasihat yang diterima dan seribu satu ungkapan sebagai teladan dan batas sempadan. Ianya menjadi azimat mengangkat martabat dan sehingga kini terus utuh terpahat dalam sanubari. Nyatalah tugas guru bukan sekadar mengajar bahkan jauh lebih daripada itu, mendidik muridnya menjadi insan berguna dan berbakti pada masyarakat. Alangkah besarnya jasa mereka. Pernah sesekali aku melihat mereka tertawa di bilik guru, bahkan adakalanya termenung menatap buku-buku para murid yang dididiknya... memikirkan bagaimana untuk menolong mereka.

Pernah aku dirotan kerana berkelahi di hadapan makmal. Akibatnya berbirat juga punggungku dihadiahkan cemeti yang sentiasa dipegang guru disiplin yang kebetulan guru sainsku pada ketika itu. Pernah aku diminta berdiri sepanjang waktu kelas kerana gagal menyiapkan kerja rumah yang pada ketika itu sangat bertimbun-timbun. Pernah juga dimarahi gara-gara sebahagian pelajar enggan turun sembahyang ke surau sekolah... dan seribu satu catatan 'manis' yang sehingga kini tidak dapat kulupakan. Namun semuanya merupakan peristiwa yang mencipta aku menjadi dewasa.

Dan... kini tanpa sedar aku sendiri diamanahkan sebagai pensyarah yang juga berada dalam lingkungan yang hampir sama dengan seorang guru. Melihat mahasiswa daripada kaca mata seorang guru... tentunya demikian aku juga dilihat dari kacamata guruku. Namun... kini kami tidak boleh lagi merotan pelajar... memarahi juga mengakibatkan kehadiran kelas berkurangan. Belum lagi nasihat yang tentunya akan disambut dengan markah penilaian pelajar yang rendah. Hingga akhirnya aku menginsafi makna seorang cikgu.

Terima kasih cikgu!

salam: Sempena Hari Guru "Guru Pembina Negara Bangsa"

No comments:

Post a Comment