Thursday 29 January 2009

Bumi Yang DiWarisi

"Bumi merupakan khazanah yang kita pinjam daripada generasi akan datang dan bukannya apa yang kita wariskan"

Tersemat kukuh pesanan ini dan terbuku dalam naluri hasil daripada intipati segala yang kupelajari sepanjang berada di UKM suatu waktu yang lalu. Ya... bumi ini bukanlah apa yang akan kita tinggalkan untuk anak cucu dan generasi pewaris tetapi merupakan apa yang kita pinjam daripada mereka. Tentunya ia memberikan noktah bidayah yang berbeza untuk dicorakkan.

Menjangkau Kenangan Silam

Seribu kenangan itulah yang dapat kurakamkan daripada kembara ilmu di bidang ekologi dan alam sekitar sepanjang tiga tahun menimba ilmu di Bangi. Dan ia menjadi titik mula kesedaran betapa indahnya alam dan memutikkan bibit bibit kecintaan terhadap bidang ini. Walaupun kini telah menobatkan diri sebagai salah seorang ahli dalam dunia pendidikan, namun sesekali limpahan memori tidak dapat dilupakan.

Dan ianya semakin membara dan bersemarak kembali ketika diutus email dan panggilan telefon rakan-rakan seperguruan. Begitu juga ketika sesekali melayari laman sesawang dan internet di kamar bersendiri, terus menyelusuri makna lestari, khazanah bumi, keindahan lautan dan hakikat graviti juga letusan magma dan rekahan sempadan geografi. Tatkala menatap dada akhbar, rasa resah terus menusuk kalbu, melihatkan jentera perkasa yang tidak henti menarah dan memusnah ciptaan Tuhan tanpa halangan dan bantahan!

Muhasabah Kendiri

Akhirnya semua terhimpun dalam kotak fikir. Kembali menginsafi ketika pernah bermusafir di Tanah Permaisuri (London) suatu ketika yang lalu. Mengutip kenangan yang datang bertalu-talu.

"Asingkan botol kaca tersebut?", pesan Landlord ketika cuba membuang sampah seadanya di bumi Malaysia.
"Hah", pastinya terlopong seketika memikirkannya.
"Kita akan disaman jika tidak mengikut peraturan recycle yang telah ditetapkan", demikian pesanan yang diberikan dan membuatku tersenyum sendiri.

Di kotaraya ini, segalanya cukup berharga bahkan sampah tidak boleh dibuang sembarangan. Hingga kertas dan sisa juga cukup terbela. Semuanya dikitar semula dan memberikan pulangan lumayan kepada Majlis Daerah mereka. Daripada hujung bandar hingga ke pusatnya, jentera pembersih bekerja keras mencuci kekotoran yang ditinggalkan. Bahkan ketika membeli ikan, hanya sehingga jam 5 petang kerana semua kedai mesti dibersihkan hingga tiada bauan yang tertinggal. Begitu juga ketika ke bilik air, cuba membandingkannya dengan di Malaysia... pastinya hanya membuka aib sendiri.

Penat mengingati kenangan yang pernah berdiam dalam diri, aku membuka tingkap kereta. Bunyi ngauman bising lori terus menyentak ketenangan yang pernah bersemadi. Di depan pula jentera rakus menarah bukit yang dijanjikan Allah sebagai pasak bumi. Kembali kalbuku mengingati kalam Tuhan yang pernah berfirman, “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pancang pasak yang menetapkannya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu.” (Surah An-Naziaat ayat 30-33)".

Bukit yang telah gondol benar-benar menyesakkan dada dan menyumbat pandangan mata dengan catatan derita. Dan perkara yang sama berlaku di mana-mana. Apatah lagi di negara yang kononnya cukup bertamadun... segalanya sudah tiada. Hutan rimba hanyalah khayalan anak-anak di dalam wayang dan mimpi ngeri. Bumi terus dikhianati... ujian senjata pemusnah... hutan dan gunung diratakan... bahan cemar menghancurkan segala sungai, tasik dan lautan... bahkan haiwan dan tumbuhan hanya mampu menghabiskan sisa kehidupan yang entah bila akan berakhir.

"Ya Allah kesihanilah bumiku ini.

Kemusnahan Atas Nama Kemajuan

Lantas perhatianku mengingat lagi saat aku memberikan ceramah kepada sekumpulan ilmuan di UTM makna alam sekitar yang mesti dijaga dan ditatang bagai minyak yang penuh.
"Kalau begitu bagaimana kita nak maju?, terpacul soalan daripada salah seorang peserta di bahagian belakang dewan.
"Maju?", begitu jawapku.
"Ya benar encik... kita bukannya anti establishment".
Wah semakin panas bunyinya. Anti establishment!!!! Sesiapa sahaja tidak mahu dituduh sebegitu. Seolah-olah militan dan berkait rapat dengan kumpulan terrorist.

Lantas aku terpaksa berbicara panjang untuk mengubah mindanya yang sarat dengan kebencian kepada usaha menyelamatkan alam. Dan akhirnya kututup bicaraku dengan sebuah Firman Tuhan, "“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya.” (Surah Al-A’Araat ayat 56).I.” (Surah Al-A’Araat ayat 56).". Kulihat wajahnya termangu-mangu seolah-olah masih ada yang mendongkol di hatinya.

Fikiranku terus kembali menngelintar ketika cuba mendapatkan jawatan di sebuah institusi pengajian tinggi di selatan tanah air. Temuduga tersebut dihadiri sekumpulan Profesor yang terkemuka. Terlihat jelas ketinggian ilmu mereka...apatah lagi bila memerhatikan cermin mata tebal dan sinaran di dahi... "Wah gerunnya" bisik hatiku sendiri.

"Alam sekitar."... gumamnya melihatkan resumeku yang dibelek pada tangannya. Ditanggalkan cermin mata dan direnungnya wajahku. Tajam... benar seperti renungan seekor helang di hadapan mangsanya. "Apa yang awak tahu pasal penjagaan alam sekitar ni?"... soalnya.

Kutarik nafas panjang dan aku mula menyusun bicara berkaitan kesan perbandaran, makna pencemaran, hakikat pemeliharaan dan pelestarian, keutuhan hutan dan lautan dunia.

"Kalau begitu bagaimana nak membangun?", lagi-lagi soalan yang sama.
"Kami diajar bagaimana untuk membangun tanpa mengorbankan alam ini. Membangun tapi menghormati bumi. Moden tapi bersahabat dengan alam, haiwan dan tumbuhan". kujawab dengan ringkas untuk tidak merendahkan ilmunya yang melimpah ruah itu. Maklumlah Profesor...

Syukurlah aku diterima bekerja di institusi ini namun perjuangan ini tidak pernah berakhir. Mendidik diri dan keluarga untuk sama berbakti kepada alam jauh lebih sukar daripada mendapatkan jawatan.

Semoga aku terus istiqamah mentadbir bumi sebagai khalifah yang amanah.


Johari Surif



No comments:

Post a Comment