Thursday 22 January 2009

Guru: Pengajar atau Pendidik?

Sengaja ku tulis tajuk catatan ini dengan satu persoalan. Namun ianya bersulam dengan sebuah harapan untuk mendesak pemikiranku bekerja lebih keras untuk memahaminya. "Mengapa aku perlu bersusah payah begini?" ternyata persoalan yang kulontarkan hanya membawa kepada seribu satu persoalan yang menuntut pelbagai jawapan. Mengapa tidak.....

Seribu Satu Kisah Seorang Guru

Kisahnya bermula daripada kehadiranku mempengerusikan "Program Pengkayaan Pengetahuan dan Pengalaman Bersama Guru Pakar" pada minggu yang lalu. Selaku setiausaha sebuah NGO, aku diamanahkan untuk mengendalikan program tersebut. Sambil makan dan berbual panjang bersama guru-guru cemerlang ini, rupanya banyak benar yang perlu dipelajari. Alangkah luasnya ilmuMu Ya Allah. Tak tertafsir rasanya cerita yang disampaikan, tak terjangkau pemikiran membayangkan dan tak tergambar pengalaman yang dikongsikan. Segalanya cukup indah kerana bagi mereka, usaha yang dicurahkan adalah bekalan ke akhirat nanti.

"Syukur kepada Tuhan, semua anak-anak saya berjaya dengan cemerlang walaupun saya tidak sempat untuk mengajar anak saya sendiri" senyum terukir di bibir guru di depanku ini. "Mengapa?" spontan terpacul soalan tanpa dapat kutahan lagi. "Hampir sepanjang hari daripada pagi hingga ke malam saya di sekolah mendidik pelajar hingga anak sendiri terabai. Mujurlah Allah membalas dengan menganugerahkan kejayaan pada mereka", suaranya mendatar dan penuh rendah diri.

Benarlah firman Tuhan, setiap kebaikan akan di balas dengan kebaikan. Ianya benar-benar menginsafkan. Tidak terpalit rasa penyesalan guru muda tersebut menginfaqkan hampir seluruh hidupnya bagi mendidik anak-anak masyarakat yang mengamanahkan kepada mereka biar terpaksa mengabaikan kebahagiaan dirinya sendiri.

Ingatanku terus mengimbau kembali ketika berbicara dengan seorang guru yang pernah dihantar jauh di pedalaman. Tanpa segala kemudahan, jauh sekali keseronokan menikmati bekalan air dan api yang hanya dihujung jari. Terpaksa bersatu dengan alam, minum air di perigi dan berbekalkan api pelita serta kelambu sebagai pendinding diri.

"Kami membina sendiri semua peralatan makmal daripada bahan terbuang, daripada tin kosong hinggalah botol-botol yang telah dibuang. Sesekali menangkap kucing liar untuk diawetkan dan mencari darah ayam di pasar untuk mengkaji platlet dan hemoglobin", penuh semangat terpancar dari tutur kata dan anak matanya yang bersinar-sinar.

Sekali lagi aku mendakap kemas semua pengalaman yang dikutip. Memetrainya dengan kalimat keramat untuk dinobat sebagai alunan azimat. Mereka mendapat damai abadi dengan membakar diri. Terus menjadi panduan dan pedoman diri.

Kami hanya mengajar

Namun terasa dadaku terkocak juga sesekala bila berkongsi pengalaman dalam sudut yang berbeza. Seperti kisah seribu satu malam, ada watak protogonis dan antagonis. Malam dan sinag. Putih dan hitam. Tidak lengkap jika tidak kukongsikan pengalaman menghadiri seminar peringkat kebangsaan di sebuah IPTA terbilang. Seusai menyampaikan seminar yang sesekali disulami gelak tawa, aku dipanggil beberapa orang guru tua dengan wajah yang membusat.

"Encik ni pernah mengajar di sekolah ke?", begitu soalan yang lama bertalu di gegendang telingaku.
"Mengapa?", sengaja aku melemparkan soalan provokasi.
"Mustahil kita boleh laksanakan pengajaran secara inkuiri, konstruktivis dan apa-apalah yang Encik cakap tu.", wah! bernada tinggi suaranya.
"Tidak boleh?", aku menyoal lagi suaraku datar.
"Encik hanya berteori, kami yang melaksanakannya. Bila nak habis silibus? .. kami ada banyak kerja, bukan habis mengajar kena jaga macam-macam, pentadbiran kami buat... aktiviti... dan... ", dan seribu satu alasan.

Begitulah kalau tak hendak seribu dalih. Anehkan? Mengapa guru tersebut tidak sama dengan guru cemerlang yang kutemui. Sedangkan mereka dididik di universiti dengan segala prasarana dan silibus yang sama.

Dan semalam kulihat lagi berita di dada akhbar. Guru didakwa memperkosa anak murid perempuan selepas balik daripada aktiviti sukan. Berita yang lain, guru meliwat dan melakukan seks oral kepada pelajarnya.

Ya tuhan, apa dah jadi?

Kembali aku memikirkan pertanyaan tadi, guru: pengajar atau pendidik?

1 comment:

  1. guru cemerlang???? - selidiki di mana dia mengajar, bagaimana iklim pentdbiran sekilahnya.

    Mustahil kita boleh laksanakan pengajaran secara inkuiri, konstruktivis dan apa-apalah yang Encik cakap tu - selidiki di mana dia mengajar, bagaiman iklim pentadbiran sekolahnya.

    Bagi saya .... kedua-dua situasi itu adalah benar. cuba letak guru cemerlang dlam sekolah yang bermasalah ... pasti dia tak boleh nak cemerlang ....

    hanya yang berada di sekolah sahaja yang tau. Hanya cikgu yang mengenak cikgu

    yang benar

    sahabat utara

    ReplyDelete