Sunday 4 January 2009

PPSMI: Kembalilah ke pangkal jalan

Sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan. Demikianlah pepatah Melayu lama yang hingga kini terus menjadi azimat dan pegangan tali temali tatkala kesesatan dan kejahilan kian nyata akibat dasar PPSMI yang telah terlanjur dilaksanakan tanpa kajian mendalam.

Berdasarkan muqadimah di atas tentulah jelas dan nyata pandangan dan prinsip ikutan yang perlu kita fahami dan yakini. Sudah terang lagi bersuluh kehancuran dan kemudaratan yang tercetus akibat kebobrokan dasar yang hanya menyusah dan menderitakan ini. Apakah masih kita perlu bertanya? Apakah masih perlu kajian dan meja bulat yang entah ke berapa kalinya?

Melanggar Perlembagaan
Perlembagaan Persekutuan dalam Fasal 152 menjelaskan hakikat yang hanya dapat dipinda melalui pindaan perlembagaan perlembagaan di Dewan Rakyat melalui usul dan sokongan 2/3 bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang menjadi kewajipan perlaksanaannya dalam semua urusan rasmi negara. Dasar PPSMI ternyata bukan sahaja memperlekehkan bahkan menghina serta mengaibkan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Penyata Razak yang dibina berdasarkan Fasal 152 ini.

Menyelamatkan Anak Melayu khususnya Luar Bandar
Jurang semakin nyata dan ketinggalan mereka semakin melebar. Tidakkah kita tidak mempunyai sebarang rasa belas kasihan. Sesungguhnya para pendidik amat mengerti. Di sekolah sesi soal jawab telah mati akibat bahasa Inggeris dan anak-anak Melayu menjadi bisu dalam kerangka pendidikan mereka yang sepatutnya menyelamatkan mereka. Hal ini menjadi lebih nyata bagi anak-anak luar bandar yang terus mengharap ikhsan daripada kita semua.

Telah nyata kesasatan yang wujud. Kembalilah ke pangkal jalan. PPSMI mesti dihapuskan dan bahasa Melayu mesti dinobatkan. Noktah. Tiada lagi persoalan.

Hormat daripada:

Johari Surif

No comments:

Post a Comment